Rodziah Ismail menyerahkan pek makanan asas kepada penduduk Parlimen Ampang pada Karnival Mesra Selangor 2023 pada 5 Mac 2023. Fota Facebook Yayasan Mesra Selangor
ADNEXCOSELANGOR

Lebih 370 individu terima pek makanan asas Yayasan Mesra Selangor

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 6 MAC: Lebih 370 individu menerima pek makanan asas sumbangan Yayasan Mesra Selangor pada program Karnival Mesra Selangor 2023 semalam.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata penerima terdiri dalam kalangan asnaf, ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah (B40) kawasan Parlimen Ampang.

Menurut beliau, program berkenaan juga dianjurkan bagi membolehkan pelbagai agensi mendekati masyarakat selain berfungsi sebagai pusat perkhidmatan setempat.

“Karnival ini kita buat agar dapat memudahkan agensi-agensi untuk menjangkau masyarakat.

“Hari ini, pelbagai perkhidmatan ada di sini, kita satukan ala pusat setempat (one stop center),” katanya dalam ucapan penyerahan sumbangan berkenaan.

Pada program tersebut, lebih 1,000 cermin mata bacaan diberi secara percuma kepada pengunjung selain pertandingan sukan rakyat dan juga persembahan silat cekak, taekwondo dan silambam.

Karnival yang julung kali diadakan itu turut menampilkan pameran serta reruai pelbagai agensi seperti pusat dialisis, saringan kesihatan, INSAN, SOCSO, KWSP, PDRM, BOMBA, Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Ampang, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), Yayasan Hijrah serta KOHIJRAH.

Program turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mesra Selangor Zahariman Ariffin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Pengerusi Titijaya Berhad, Tan Sri Dato Lim Soon Peng.

 


Pengarang :