EXCO Pembangunan Modal Insan dan Generasi Muda dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman mendengar taklimat oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Labis Herman Raban berkenaan bantuan pasca banjir Bilik Gerakan Banjir Dewan serbaguna Majlis Daerah Labis, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majlis Daerah Labis hargai komitmen Selangor bantu percepat kerja pembersihan

LABIS, 9 MAC: Majlis Daerah Labis (MDL) menghargai komitmen Kerajaan Selangor menghantar ramai anggota bagi mempercepat kerja pembersihan sisa pukal di lokasi terjejas banjir.

Yang Dipertuanya Herman Raban berkata sebelum ini pihaknya berdepan kekurangan sumber tenaga dan jentera hingga melambatkan proses pembersihan tinggalan bah awal bulan ini.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain terlibat kerana bergabung tenaga bagi membantu mangsa terlibat banjir di daerah ini.

Longgokan barangan yang rosak akibat banjir di tepi deretan kedai ketika tinjauan Media Selangor di Chaah Tengah, Segamat, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jika sebelum ini kadar pembersihan sisa pukal bergerak agak perlahan, dengan bantuan yang sampai ia jadi lebih cepat. Kita tidak mahu wabak lain merebak disebabkan sampah tidak dikutip,” katanya.

Beliau ditemui selepas taklimat penugasan anggota Misi Bantuan Selangor Penyayang 2.0 di pusat operasi bencana MDL di sini semalam yang turut dihadiri EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman.

Pada 4 Mac lalu Kerajaan Negeri menggerakkan Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa pertama diketuai Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Muhammad Hanafi Ahmad menghantar pelbagai barangan keperluan asas ke Johor.

Barangan tersebut seperti makanan, minuman, kit kebersihan, pakaian dan lampin pakai buang dihantar ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (Zon Selatan), Muar bagi memudahkan urusan pengagihan kepada mangsa banjir.

Sebanyak 1,000 makanan dan 1,000 kit kebersihan diserahkan termasuk 418 bakul makanan, 200 kampit beras lima kilogram, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, selipar, pakaian dewasa dan kanak-kanak serta air mineral.


Pengarang :