Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong Keat Ping ketika usul menjunjung kasih titah Tuanku pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri diminta tangani perubahan iklim, elak kesan buruk kepada penduduk

SHAH ALAM, 14 MAC: Isu perubahan iklim dan pemanasan global ketika ini perlu dipandang serius dan ditangani bagi mengelak kesan buruk kepada penduduk.

Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan berkata langkah itu perlu kerana Selangor mempunyai pesisir pantai yang panjang yang menjadi kawasan kediaman penduduk.

“Suhu semasa bumi hampir 1.3 darjah celcius bakal meningkat pada masa akan datang dan ketinggian paras laut juga akan semakin naik.

“Kalau kita tidak hadkan suhu dunia yang semakin meningkat ini, ia bakal memberi kesan kepada penduduk pinggir pantai,” kata Elizabeth Wong Keat Ping.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong Keat Ping ketika usul menjunjung kasih titah Tuanku pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Elizabeth turut meminta Kerajaan Negeri menyiapkan segala infrastruktur sebagai persediaan mendepani fenomena La Nina kepada El Nino.

“Simptomnya seperti hujan lebat macam berlaku dua tiga tahun ini dan besar kemungkinan El Nino akan berlaku.

“Masa 2014 masa saya jadi EXCO alam sekitar. Ketika itu panas tak ada air. Tiap hari kita teliti paras empangan. Kalau turun satu peratus kita di Lembaga Urus Air Selangor jadi risau.

“Kita terpaksa buat pembenihan awam supaya hujan. Jadi amat penting kita siap sedia berdepan banjir atau kemarau. Kena siapkan fasiliti, kemudahan semua,” katanya.

Sempena istiadat pembukaan DNS semalam Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Selangor terus menjadi negeri lestari dan hijau selari dengan pelbagai teknologi pembangunan yang menyokong penjagaan alam sekitar.

Titah Baginda pemerkasaan undang-undang alam sekitar dan aktiviti penguatkuasaan juga perlu terus dilaksana berikutan kemerosotan alam sekitar akan memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.


Pengarang :