EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri sedia kemudahan IT di masjid, surau secara berperingkat

SHAH ALAM, 16 MAC: Penggunaan teknologi maklumat (IT) sebagai medium untuk memantau ceramah di masjid dan surau disedia secara berperingkat, kata EXCO agama.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata ketika ini 191 masjid mempunyai kemudahan multimedia yang diguna untuk menayang khutbah dan ceramah.

“Selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memperuntuk RM500,000 untuk tambahan kepada yang sedia ada membabitkan 45 masjid terpilih.

“Jais akan terus mengusahakan untuk menyediakan kemudahan ini secara berfasa berdasarkan capaian internet dan kemampuan pegawai masjid untuk mengoperasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sultan Sharafuddin sebelum ini menitahkan nazir di semua masjid memperuntuk sebahagian daripada kewangan masjid bagi menyediakan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi untuk merekod serta memantau semua aktiviti ceramah.

Kelengkapan itu akan memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah kerana setiap perjalanan ceramah dibuat secara langsung atau dalam talian boleh dikongsi oleh mereka yang tidak hadir ke majlis ilmu tersebut, selain mudah dirujuk semula apabila diperlukan.


Pengarang :