EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani Ir Izham Hashim bergambar bersama penerima insentif pertanian ketika program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Sabak Bernam di Pentas Utama Bagan Terap, Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bakal teraju pengeluaran benih kelapa negara

SABAK BERNAM, 20 MAC: Selangor bakal menjadi peneraju dalam penghasilan benih pokok kelapa negara menerusi program ‘Seed Growers’.

Timbalan pengarah Jabatan Pertanian negeri berkata projek sulung di Sungai Air Tawar di sini telah bermula awal tahun ini melibatkan empat pengusaha.

Wan Mohammad Zulkarnain Baharudin

Menurut Wan Mohammad Zulkarnain Baharudin, inisiatif itu sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu bekalan kelapa yang dihadapi negara.

“Sabak Bernam merupakan daerah kedua terbesar di Malaysia yang menghasilkan kelapa. Jadi, kita memilih lokasi ini di atas kawasan seluas 50 ekar.

“Dengan adanya projek ini, kita harapkan Sabak Bernam akan turut menjadi hub penghasilan benih kelapa kepada seluruh negara,” katanya.

Beliau ditemui pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Sabak Bernam semalam. Turut hadir EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim.

Wan Mohammad Zulkarnain menambah program itu dijangka menghasilkan benih ‘Hybrid Matag’ yang merupakan gabungan dua induk daripada pokok kelapa jenis ‘Tagnanan’ dan ‘Malayan Yellow Dwalf’.

Jelasnya, benih baharu tersebut adalah antara jenis kelapa terbaik selain mempunyai nilai jualan yang tinggi iaitu antara RM50 hingga RM70 sepokok.

“Ketika ini kita masih terpaksa mengimport kelapa dari negara luar. Menerusi program ini, kita harap dapat bantu hasilkan lebih banyak kelapa, sekaligus menyelesaikan masalah bekalan kelapa negara,” katanya.


Pengarang :