LABIS, 10 MAC: Team Selangor menggerakkan seramai 50 sukarelawan bagi membantu mangsa terjejas banjir di Johor sejak semalam hingga Ahad ini.
Menurut pegawai programnya, seramai 23 sukarelawan menjayakan Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa dua membabitkan kerja pembersihan sampah pukal di Taman Orkid dan Kampung Jawa di sini yang dijadual berakhir hari ini.
Muhammad Azimuddin Mohamed memaklumkan baki anggota dihantar ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat selama lima hari bagi membantu kelancaran operasi di situ.
“Bagi misi bantuan pascabah di Labis, kami bergabung tenaga dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sukarelawan lain membersihkan sampah pukal dan barang rosak di depan rumah penduduk untuk dilupuskan.
“Manakala di PPS kami bantu sediakan kelengkapan asas, perkakas mandian, makanan kering dan minuman untuk diagih kepada mangsa banjir di PPS serta penduduk sekitar,” katanya kepada Selangorkini.
Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa dua digerakkan semalam dengan menumpukan pembersihan sampah pukal di sembilan kawasan terjejas sekitar Labis.
Komitmen 291 anggota pelbagai agensi negeri yang bertungkus-lumus membantu proses pelupusan sampah hingga esok mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Terima kasih dan syabas buat petugas Misi Selangor Penyayang Fasa Kedua ini. Mereka akan meneruskan misi hingga hari esok, InsyaAllah,” tulisnya di Facebook
Pada 4 Mac lalu Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa pertama digerakkan dengan menghantar pelbagai barangan keperluan asas ke negeri terbabit.
Barangan seperti makanan, minuman, kit kebersihan, pakaian dan lampin pakai buang dihantar ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (Zon Selatan), Muar bagi memudahkan urusan pengagihan kepada mangsa.
Sebanyak 1,000 makanan dan 1,000 kit kebersihan diserahkan termasuk 418 bakul makanan, 200 kampit beras lima kilogram, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, selipar, pakaian dewasa dan kanak-kanak serta air mineral.