SHAH ALAM, 20 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggesa masyarakat mengimarah masjid dan mengambil peluang kumpul pahala sepanjang Ramadan.
Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berharap orang Islam tidak hanya memenuhkan masjid pada minggu pertama atau kedua tetapi berterusan sehingga akhir Ramadan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/03/C3-500x328.jpg)
“Umat Islam perlu konsisten meriahkan masjid dengan aktiviti bermanfaat seperti perbanyakkan solat sunat dan sedekah, kita perlu mengambil peluang yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah dalam bulan Ramadan ini.
“Berkenaan dengan bilangan rakaat solat Tarawih tiada paksaan tetapi adalah digalakkan untuk menunaikan 20 rakaat bagi yang mampu kerana besar nilai pahala kepada yang melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan konvoi Mais bersama agensi dan anak syarikatnya ke Johor bagi bantuan banjir di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata sebanyak tujuh masjid bakal dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ramadan ini.
“Baginda Tuanku berkenan merasmikan masjid di semua daerah kecuali Hulu Selangor dan Sepang termasuk majlis berbuka puasa bersama rakyat pada Ramadan ini,” katanya.