Pengusaha produk pencuci, Elangkovan Narayanan menunjukkan sebahagian produk keluaran kilangnya di Eagle Chemitech Resources Sdn Bhd pada 14 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Usahawan cipta formula sabun, eksport produk ke luar negara

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 15 MAC: Mula belajar menghasilkan sabun menerusi saluran Youtube, Elangkovan Narayanan, 60, mencipta formula sendiri sebelum menghantar ke makmal ujian untuk dijadikan produk sulungnya.

Usahawan cekal ini juga sanggup melepaskan jawatan sebagai pekerja pemasaran bagi merealisasikan hasratnya memiliki perniagaan sendiri.

Mengakui bergelut dengan dugaan kekurangan modal diawal perniagaan, Elangkovan akhirnya memberanikan diri memohon pembiayaan daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Perniagaan bermula di sebuah kedai kecil, disebabkan tidak cukup modal untuk kembangkan perniagaan saya beranikan diri untuk buat pinjaman permulaan berjumlah RM30,000 daripada Hijrah. Selepas selesai bayar, saya buat pinjaman kedua RM50,000.

“Dari situ perniagaan berkembang sehingga berjaya miliki kilang sendiri untuk hasilkan sabun. Malah kini saya boleh berbangga hasil pinjaman yang dibuat saya mampu cipta pelbagai formula sehingga hasilkan lebih 80 produk pecuci dan mendapat pengiktirafan produk halal,” katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Normaiza Yahya (tiga, kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada Pengusaha produk pencuci Elangkovan Narayanan (tiga, kanan) dan rakan kongsi Dato Jamhuri Abdul Rahman ketika ketika kujungan Kembara Sukses Hijrah 2023 di pada 14 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Elangkovan berkata beliau kini berjaya lebarkan sayap dengan mengeksport produknya ke Vietnam, Indonesia dan dalam perbincangan memasarkan produk ke Singapura.

Kini, beliau mampu meraih pendapatan sebanyak RM150,000 berbanding RM50,000 sebelum membuat pinjaman Hijrah.

“Saya bangga kerana menjadi usahawan tempatan pertama yang berjaya bekal hampir lapan jenis produk pencuci jenama EC Klean di 35 cawangan pasaraya Aeon di seluruh negara selain bakal membekal produk sama di 33 cawangan pasaraya Aeon Big di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di kilang Eagle Chemitech Resources di Kapar di sini, semalam.

Selain Elangkovan, Hijrah turut mengunjungi dua lagi usahawan iaitu pengusaha bakeri DP Pastry House Sharmalizawati Ramle dan pemilik bengkel Bro Autopaint Garage Mohd Hafiy Hamzah yang berjaya dalam perniagaan menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2023.

Pengusaha bakeri DP Pastry House, Sharmalizawati Ramle. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sharmalizawati, 44, berkata beliau bermula dari rumah dan menghantar hasil jualannya ke rumah pelanggan enam tahun lalu sebelum terpaksa ditutup susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

“Pada 2017 saya mula buka kedai di Puncak Alam dan perniagaan berjalan lancar sebelum terpaksa tutup selama 45 hari pada 20202 susulan PKP. Dalam tempoh itu bahan mentah semua rosak dan terbuang malah perlu bayar gaji pekerja.

“Saya tanggung kerugian RM50,000 situasi itu membuatkan saya cuba memohon pembiayaan daripada Hijrah. Hijrah luluskan pinjaman saya sebanyak RM7,000 selepas PKP untuk bangunkan semula perniagaan,” katanya.

Pengusaha bakeri DP Pastry House, Sharmalizawati Ramle melihat hasil kerja kakitangannya ketika Kembara Sukses Hijrah 2023 mengunjungi premisnya di Puncak Alam pada 14 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Berbekalkan modal berkenaan, Sharmalizawati kembali bangkit sehingga berjaya membuka cawangan di Bukit Kapar dan memiliki kios di beberapa cawangan pasaraya Econsave.

“Alhamdulillah, kini saya mampu meraih pendapatan sehingga RM70,000 sebulan dan menggajikan 13 pekerja,” katanya.


Pengarang :