Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 15 MAC: Biarpun berdepan pelbagai cabaran susulan bengkel terbakar dan perlu mengganti kenderaan pelanggan sehingga mengalami kerugian mencecah RM40,000, tidak mematahkan semangat Mohd Hafiy Hamzah melebarkan empayar perniagaan mengecat kenderaan.
Malah pemuda berusia 37 tahun yang mesra disapa Angah tidak menyangka keputusan meminjam RM10,000 daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) pada 2020 mengubah kehidupannya.
Pemilik perusahaan Bro Autopaint Garage berkata menerusi pembiayaan yang diterima, bengkel yang dahulunya beroperasi di belakang rumah dan hanya mampu mengecat antara 10 hingga 15 kenderaan sebulan kini mampu menyiapkan sehingga 80 kenderaan sebulan.

“Bersyukur kerana dapat bantuan Hijrah, pinjaman mudah kadar faedah rendah malah ada simpanan. Selain pinjaman Hijrah turut tawarkan bimbingan untuk kembangkan perniagaan.
“Hijrah kemudiannya meluluskan permohonan pembiayaan kedua RM100,00 bantu saya lebarkan perniagaan. Alhamdulillah daripada empat pekerja kini saya mampu gajikan 22 kakitangan dan kini mampu raih pendapatan sehingga RM400,000 sebulan.
“Dengan pembiayaan itu kita dapat sediakan ‘oven’ dan tambah keyakinan pelanggan untuk hantar kenderaan ke sini kerana ramai yang tanya kita guna ‘oven’ atau cat dengan semburan biasa,” katanya ketika ditemui di bengkel Bro Autopaint Garage di Kampung Baru Subang di sini.

Semalam, Hijrah mengunjungi tiga usahawannya yang berjaya dalam perniagaan menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2023 termasuk bengkel Bro Autopaint Garage.
Program berkenaan merupakan inisiatif agensi itu mendokumentasikan pencapaian usahawan yang membuat pinjaman dalam bentuk penulisan dan video yang menampilkan prestasi cemerlang peserta.
Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan pada 25 November lalu memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.
Setakat ini, skim ditawarkan institusi pembiayaan itu kepada usahawan meliputi Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim, i-Bisnes dan Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).