Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei (tengah) ditemani Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) SS2B Edward Sta Maria (kiri) ketika meninjau taman permainan yang dinaik taraf kemudahan infrastruktur untuk kegunaan penduduk di Taman SS 2/32, Petaling Jaya pada 1 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat, MBPJ kerjasama naik taraf taman riadah di Kampung Tunku

PETALING JAYA, 1 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bekerjasama menaik taraf infrastruktur Taman SS 2/32 di sini.

Wakil rakyatnya Lim Yi Wei berkata pihaknya memperuntuk kira-kira RM48,105 untuk kerja mengecat dan mendirikan pagar sekeliling gelanggang bola tampar di kawasan berkenaan.

“Manakala proses selebihnya dikendalikan MBPJ seperti menurap semula gelanggang bola keranjang, laluan pejalan kaki, mengecat taman permainan dan peralatan senaman serta membaiki kerusi kayu.

“Kerja pembaikan ini dibuat selepas menerima aduan penduduk berhubung lantai gelanggang bola keranjang mengalami keretakan menyebabkan risiko kepada pemain selain keadaan fasiliti agak daif,” katanya kepada SelangorKini.

Yi Wei menjelaskan sebanyak enam projek berjaya dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama MBPJ dan mantan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua untuk menaik taraf kawasan sekitar SS 2 sejak tahun lalu.

“Terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana banyak membantu mengindahkan sekitar kawasan Kampung Tunku. Saya berharap penduduk lebih selesa dan dapat beriadah dengan gembira.

“Kami berhasrat untuk meneruskan trend menaik taraf infrastruktur ini supaya penduduk mempunyai persekitaran yang selamat dan selesa,” katanya.


Pengarang :