Peserta membuat pemeriksaan kesihatan menerusi program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

22,513 jalani saringan percuma, hampir separuh perlu rawatan susulan

SHAH ALAM, 1 MAC: Program pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri bagi mengesan penyakit lebih awal merekod 22,513 pendaftaran sepanjang tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 49 peratus kes yang menyertai Selangor Saring dikenal pasti memerlukan tindakan susulan untuk pencegahan dan rawatan awal.

“Angka ini hampir separuh daripada sampel dan langkah susulan awal pasti mampu menyumbang kebaikan kepada mereka,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan inisiatif tersebut menawarkan saringan percuma untuk penduduk bagi mewujudkan masyarakat sihat, seiring matlamat Kita Selangor Penyayang.

Katanya, usaha pencegahan itu dibuat supaya penduduk memiliki kehidupan bermutu berikutan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada masyarakat dari segi sosial, ekonomi dan kesihatan.

Program dari Mei hingga September tahun lalu dengan kos RM3.4 juta menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Selain saringan fizikal, Selangor Saring turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Skim tersebut ditambah baik tahun ini dengan beberapa lagi saringan antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.


Pengarang :