Antara beg tangan tiruan yang dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dalam operasi di dua premis dalam sebuah pasar raya di Klang pada 10 April 2023. Foto Ihsan KPDN Selangor
AGENDAJENAYAH

10,000 beg tangan tiruan bernilai RM1 juta dirampas, empat individu ditahan

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hari ini merampas kira-kira 10,000 unit beg tangan tiruan berjenama eksklusif dan terkenal dianggarkan bernilai RM1 juta, susulan serbuan di dua premis dalam sebuah pasar raya di Klang, di sini hari ini.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata dalam serbuan sekitar 1 tengah hari itu, turut ditahan empat warga tempatan termasuk tiga wanita berusia lingkungan 18 hingga 38 tahun.

Beliau berkata pihaknya menggerakkan sembilan anggota ke dua premis tersebut membabitkan sebuah stor simpanan dan premis jualan, yang disyaki ia telah beroperasi sejak tiga tahun lalu.

“Tindakan operasi hari ini merupakan hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu oleh Pasukan Risikan KPDN Selangor dengan kerjasama wakil cap dagangan berdaftar, berhubung aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan yang diwakili.


Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menjalankan pemeriksaan di dalam premis yang menjual beg tangan di sebuah pasar raya di Klang pada 10 April 2023. Foto Ihsan KPDN Selangor

“Berdasarkan rekod tindakan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, serbuan pada hari ini melibatkan nilai rampasan terbesar pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zuhairi berkata pihaknya menyita kesemua barangan berkenaan, seterusnya disimpan dan dikawal di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.

“Kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu melibatkan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100, Akta Cap Dagangan 2019.

“Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) ini, bagi individu denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi pertubuhan atau syarikat denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap satu barang, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar pemilik bangunan untuk bertanggungjawab dan berusaha memastikan premis atau lot yang disewakan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar peruntukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 atau mana-mana perundangan yang dikuat kuasa di bawah KPDN.

– BERNAMA


Pengarang :