Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Setiap kesulitan, kesukaran, disertai kesenangan (VIDEO)

SHAH ALAM, 10 APRIL: Allah SWT memberi jaminan setiap kesusahan dan kesulitan yang dihadapi disertai dengan kesenangan.

Menghuraikan ayat 5 dan 6 Surah Al-Insyirah yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata dalam ayat itu Allah SWT mengulangi dua kali iaitu bersama-sama kesusahan ada kesenangan yang datang sekali.

“Ayat ini membawa maksud setiap satu kesusahan akan datang 1,000 kesenangan, bukannya satu susah, datang satu senang.

“Contoh kita lihat masa Covid-19, yang menyusahkan kita Covid-19…..satu je tetapi yang datang, orang belajar jadi imam, belajar kelas dalam talian, belajar buat bisnes, ramai mula sedar apa yang ada dalam hidup, ubah hidup dia….jadi lebih berjaya….lebih dari tiga sedangkan satu je masalahnya…Covid-19,” katanya.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Mengulas lanjut Ustaz Don Daniyal berkata disebabkan itu umat Islam tidak perlu takut jika ditimpa kesusahan kerana ada banyak kesenangan yang Allah SWT janjikan kepada manusia.

“Kerana itu dalam ayat ini Allah SWT mengulanginya dua kali serta meyakinkan kita bersama-sama susah akan datang senang.

“Apabila diuji, mesti ada benda baik…kita akan gembira secara tak langsung seperti mana Dato’ Seri yang memimpin Selangor…apabila kita dapat memahami ini, kita akan gembira,” katanya.

Amirudin pula berkata pelbagai pengalaman dilalui ketika mengetuai negeri itu terutama pada waktu Covid-19.

“Selain peribadi, ada juga pengalaman pentadbiran di luar jangkaan, kali terakhir negara melaksanakan darurat pada 1970…ini pengalaman berharga.

“Lebih menarik, ramai kaum bapa jadi imam di rumah….mungkin dah lama tak jadi imam. Ayat ini ringkas tetapi padu dan punyai pengertian yang mendalam,” katanya.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin
Episod tujuh – bina kasih dalam keluarga
Episod lapan – doa pakaian ummah
Episod sembilan – tuntut ilmu
Episod 10 – hidup harmoni masyarakat
Episod 11 – ujian pengukur iman
Episod 12 – akidah keturunan Nabi Yaakub
Episod 13 – pemimpin disayangi taat kepada Pencipta
Episod 14 – hikmah Ramadan, bentuk peribadi, disiplin
Episod 15 – peringatan bercakap benar
Episod 16 – hormat sesama manusia
Episod 17 – insan berakhlak mulia warisi alam
Episod 18 – jauhi munafik, harap kematian dalam Islam


Pengarang :