Peserta mendengar penerangan sebelum mula memasak sempena kursus pengawetan makanan dianjurkan Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Sentosa pada 9 April 2023. Foto Facebook ADN Sentosa
ADNSELANGOR

DUN Sentosa anjur kursus awet makanan bantu wanita jana pendapatan

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 11 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menganjurkan kursus pengawetan makanan dalam membantu golongan wanita menjana dan menambah pendapatan isi rumah menerusi penjualan makanan.

Wakil rakyatnya Dr G Gunaraj berkata kursus tersebut diadakan di Pusat Pembangunan Komuniti DUN Sentosa pada Ahad lalu disertai hampir 30 peserta.

“Menerusi program ini peserta diajar teknik pengawetan bagi membolehkan makanan sedia ada tahan lebih lama tanpa menjejaskan rasa dan keenakannya.

“Teknik ini amat berguna bagi membantu peserta dan kita bawa chef berpengalaman kendalikan kelas agar mereka dapat tambahan kemahiran serta teknik pengawetan yang betul sebelum memulakan perniagaan,” katanya ketika dihubungi.

Gunaraj berkata menerusi program percuma anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Sentosa membolehkan peserta belajar teknik pengawetan sambal ikan bilis dan acar agar ia dapat tahan lama dan kekal segar.

Menurut beliau, memandangkan sambutan hebat diterima pihaknya akan menganjurkan siri kedua program selepas Aidilfitri bagi membolehkan lebih ramai golongan wanita di DUN terbabit dapat mempelajarinya.


Pengarang :