Ketua Penyelaras DUN Dengkil Dato’ Romli Ishak menyerahkan baucar Jom Shopping Aidilfitri kepada penerima. Foto Pejabat Pegawai Penyelaras DUN Dengkil
ADNSELANGOR

850 keluarga B40 di Dengkil terima baucar beli belah Aidilfitri

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 850 keluarga berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menerima baucar Jom Shopping Aidilfitri dengan jumlah keseluruhan RM170,000.

Ketua Penyelarasnya Dato’ Romli Ishak berkata penyerahan baucar dibuat secara berperingkat dengan fasa satu sudah diserahkan kepada 277 penerima.

“Selebihnya akan diserahkan dalam fasa dua pada 15 April ini bagi membolehkan penerima membuat persiapan awal Aidilfitri.

“Mudah-mudahan pemberian ini dapat meringankan sedikit sebanyak kesusahan dirasai mereka untuk menyediakan persiapan menyambut Aidilfitri sekeluarga,” katanya kepada Selangorkini.

Romli berkata pihaknya turut menyerahkan bantuan Aidilfitri daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) kepada 10 penerima dengan setiap daripadanya menerima RM200.

Tahun ini seramai 37,250 keluarga kurang berkemampuan di Selangor menerima baucar beli-belah berjumlah RM200 sempena Aidilfitri, meliputi peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.45 juta.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16.48 juta bagi pemberian baucar terbabit menerusi Belanjawan Selangor 2023 dengan menaikkan kadar inisiatif kepada RM200 setiap keluarga berbanding RM100 sebelum ini.

Had pendapatan bulanan isi rumah turut ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan dan memanfaatkan 82,400 penerima di seluruh negeri.


Pengarang :