Pegawai JKR Kuala Selangor memeriksa keadaan Jambatan Pekan Tanjong Karang yang didakwa retak dan tidak selamat digunakan. Foto Facebook JKR Kuala Selangor
AGENSISELANGOR

Jambatan Pekan Tanjong Karang tidak retak, selamat digunakan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor mengesahkan jambatan pekan Tanjong Karang tidak retak dan selamat digunakan orang ramai.

Jabatan itu dalam kenyataan di Facebook menjelaskan siasatan dan pemeriksaan mendapati jambatan terbabit tidak mengalami sebarang keretakan seperti didakwa.

“Oleh yang demikian, pejabat ini ingin menyatakan bahawa jambatan tersebut selamat digunakan,” katanya yang turut membuat laporan polis susulan dakwaan tersebut.

JKR menambah pihaknya turut mengadukan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pelaku yang menyebarkan dakwaan paslu dikenakan tindakan.

Terdahulu, tular rakaman audio mendakwa jambatan terbabit retak dan tidak selamat digunakan hingga mengundang kebimbangan pengguna terutama menjelang Aidilfitri.


Pengarang :