Pelanggan memilih Menu Rahmah “Durian” yang dijual pada berharga RM4.99 ketika tinjauan di Kampung Batu 7 Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian kaji beri insentif untuk peniaga laksana Menu Rahmah

ALOR SETAR, 8 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memulakan kajian bagi memperhalusi insentif kepada peniaga yang terlibat dalam pelaksanaan Menu Rahmah yang telah diperkenalkan sejak hujung Januari lepas.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kajian berkenaan dijangka dilaksanakan selepas sambutan Aidilfitri ini dengan tempoh empat hingga enam bulan pascapelaksanaan inisiatif itu dilihat munasabah dan tepat untuk melakukan kajian tersebut bagi membantu peniaga yang terlibat.

“Kajian yang akan melibatkan proses menemu duga peniaga ini akan dibuat dengan penuh tanggungjawab. Ia akan dilakukan di seluruh negara melibatkan kawasan bandar, semibandar dan kampung, serta menu yang ditawarkan peniaga bagi mengetahui bentuk bantuan yang diperlukan mereka. Setakat ini, secara umumnya informasi yang diterima menampakkan gerai atau restoran yang menawarkan Menu Rahmah ini menjadi tarikan pelanggan. Jadi, kita akan teliti semua fakta ini kerana kementerian bertanggungjawab, tambahan ini melibatkan isu keperluan peniaga dan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Semarak Niaga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Koporat berjumlah RM100,000 kepada 500 penerima terdiri daripada golongan asnaf.

Salahuddin berkata selain Menu Rahmah, kajian secara komprehensif itu akan turut melibatkan pelbagai inisiatif Rahmah yang lain termasuk Bakul Rahmah yang diberikan kepada golongan B40.

Sementara itu, beliau berkata seramai 1,148 peniaga bazar Ramadan yang ditemu bual setakat ini memaklumkan bahawa berlaku peningkatan hasil jualan bagi mereka yang menawarkan Menu Rahmah.

“Hasil kajian menunjukkan berlaku 63 peratus peningkatan hasil jualan, 69 peratus peningkatan pelanggan dan 70 peratus peningkatan keuntungan. Manakala yang lain itu ada keuntungan tetapi tidak pada kadar yang mereka harapkan,” katanya.

KPDN memperkenalkan Menu Rahmah pada 31 Januari lepas yang merupakan makanan tengah hari dan malam serendah RM5, selain lebih 15,000 premis makanan seluruh negara menyahut kempen tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :