Trafik tinggi dan bergerak perlahan dari Terminal Kontena (NBCT) menghala ke Plaza Tol Bagan Ajam pada jam 6.17 petang hari ini. Foto Facebook LLM
AGENDANASIONAL

LLM: Aliran trafik lebuh raya utama perlahan setakat 6 petang ini

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Aliran trafik beberapa lebuh raya utama di seluruh negara dilaporkan bergerak perlahan setakat 6 petang ini susulan pertambahan kenderaan yang membuat perjalanan pulang ke destinasi masing-masing sempena Aidilfitri.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berdasarkan trend semasa, kesesakan akan semakin bertambah mulai malam ini terutamanya selepas waktu berbuka puasa.

“Ketika ini trafik di beberapa kawasan mula menunjukkan kesesakan terutamanya disebabkan oleh beberapa kemalangan. Antaranya kesesakan sepanjang 14 kilometer (km) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan dari Southville City ke Seremban dan Putra Mahkota ke Nilai.

“PLUS di arah utara pula trafik perlahan dari Slim River ke Sungkai, Sungkai ke hentian sebelah Ladang Bikam, Bidor ke Tapah, Ipoh Utara ke Kuala Kangsar dan Juru ke Bertam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) sesak di beberapa lokasi panas iaitu selepas Plaza Tol Gombak ke Lentang dan Genting Sempah serta selepas Terowong ke Bukit Tinggi.

“Trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 masih lancar buat masa ini dan LPT 2 sedikit sesak sebelum keluar Plaza Tol Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS berkata di arah utara, kemalangan di KM 434 dari Bukit Beruntung ke Sungai Buaya menyebabkan penutupan di lorong kiri untuk kerja-kerja peralihan.

Selain itu, trafik mula perlahan di arah selatan susulan terdapat satu kemalangan di KM 307 dari Universiti Putra Malaysia ke Kajang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA


Pengarang :