Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis penyerahan insentif khas Aidilfitri #KitaSelangor kepada penggerak masjid dan guru rakyat Selangor di Dewan Jamuan, Masjid Negeri, Shah Alam pada 13 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Tangga gaji guru sekolah rendah agama, Kafa diselaras semula

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan pelarasan semula gaji guru di sekolah rendah agama dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa).

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi memastikan guru agama tidak lagi terbeban dengan kenaikan gaji dan pangkat yang agak lama berbanding guru di Kementerian Pendidikan.

“Kita sedang mempertingkatkan pendidikan agama di negeri ini. Semalam kita sudah luluskan kertas kerja (cadangan pelarasan gaji) yang dipohon Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Ini supaya tangga gaji dan kedudukan pangkat dapat disusun semula. Kita dapati guru Kafa alami waktu yang agak lama untuk mendaki tangga gaji berbanding rakan-rakan di kementerian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan insentif khas Aidilfitri di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta sempena majlis penyerahan insentif khas Aidilfitri #KitaSelangor kepada penggerak masjid dan guru rakyat Selangor di Dewan Jamuan, Masjid Negeri, Shah Alam pada 13 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir EXCO Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek dan Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad.

Berhubung elaun guru Kafa, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan kenaikan elaun minimum RM1,500 kepada semua guru sebelum Aidilfitri ini.

Pada November tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan pelarasan elaun minimum guru Kafa sebanyak RM1,500 sebulan.

Amirudin berkata ia sebagai menghargai peranan 2,825 guru Kafa di Selangor yang masih dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

Kerajaan Selangor turut membelanjakan sejumlah RM1.4 bilion bagi mengukuhkan institusi masjid, surau dan sekolah agama di negeri ini sejak 2018.

 


Pengarang :