Ketua Pegawai Korporat PKNS, Idris Ishak (tengah) membantu anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) memilih kasut raya ketika program Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Menjelang Aidilfitri, PKNS taja pakaian anak yatim ikut cita rasa masing-masing

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kegembiraan jelas terpancar di wajah penghuni rumah anak yatim yang diberi kesempatan membeli persiapan Aidilfitri bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini.

Saifullah Idris,12. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Saifullah Idris, 12, dari Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS), Rawang berkata dirinya gembira apabila PKNS sudi menaja pembelian kelengkapan hari rayanya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

“Sebelum ini ada juga pihak yang sudi belikan kami pakaian hari raya tetapi kali ini PKNS belikan kami songkok, baju dan kasut baharu. Semuanya serba baharu.

“Saya tidak sabar mahu sambut hari raya kali ini. Saya juga dapat pilih baju dan kasut sendiri,” katanya kepada Selangorkini.

Nur Qaseh Izara Aishah Abdullah,10. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Nur Qaseh Izara Aishah Abdullah, 10, berkata beliau teruja kerana julung kali berpeluang mengunjungi Kompleks PKNS di sini.

“Saya tidak pernah datang ke sini. Seronok sangat sebab dapat beli baju raya dan kasut raya dengan kawan-kawan,” katanya.

Saifullah dan Nur Qaseh antara 40 anak yatim yang dibawa membeli belah persiapan hari raya menerusi program Ramadan Kasih PKNS di Kompleks PKNS di sini hari ini.

PKNS menyediakan peruntukan RM250 kepada setiap penghuni untuk membeli segala persiapan Aidilfitri mengikut citarasa masing-masing.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Idris Ishak (tengah) bergambar bersama anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) ketika program Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :