Deretan bendera pelbagai parti yang bertanding bagi Parlimen Gombak menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menghiasi Jalan Gombak Lama ketika tinjauan pada 9 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penyandang kerusi DUN Selangor kekal tandingi PRN

SHAH ALAM, 11 APRIL: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor akan kekal bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN).

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu dipersetujui HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) selepas perundingan dibuat kedua-kedua pihak baru baru ini, lapor Astro Awani.

“Keputusan yang kita buat di peringkat sekretariat dan kita kena turunkan ke bawah, perundingan di beberapa negeri sedang berlaku. Kita ada masa lagi, yang penting kita setuju dengan parameter itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan perasmian Program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani 2023 di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, Kelantan pada 18 Februari 2023. Foto BERNAMA

“Bila dijangka akan selesai? Selalunya sebelum penamaan calon,” katanya seperti dilaporkan portal itu dalam sebuah majlis di Bayan Baru, hujung minggu lalu.

Pada saat ini, sebanyak 45 kerusi DUN di Selangor dikuasai HARAPAN dan BN manakala selebihnya pembangkang termasuk wakil rakyat Bebas.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi HARAPAN Fahmi Fadzil berkata rundingan kerusi bagi PRN masih dibincangkan melalui jawatankuasa khas bawah sekretariat kerajaan perpaduan.

“Tiada pengumuman setakat ini. Selagi tiada apa diumumkan, perkara masih dalam perbincangan dan ia belum berakhir,” katanya menafikan gabungan itu akan “mengorbankan” kerusi selamat kepada BN.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Parti Keadilan Rakyat dan DAP akan memberi laluan beberapa kerusi di Selangor untuk mengekalkan kerajaan perpaduan.

Selain Selangor, lima negeri lain iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan tidak membubarkan DUN serentak dengan pilihan raya umum ke-15, November tahun lalu.

Berikutan itu, keenam- enam negeri berkenaan dijangka akan membubarkan DUN masing- masing Jun ini bagi membolehkan PRN diadakan antara Julai hingga Ogos.


Pengarang :