Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyampaikan baju raya kepada penghuni rumah anak yatim dan asnaf Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah, Hulu Selangor pada 4 April 2023. Foto Yayasan Raja Muda Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda sampaikan RM3,500 bantu rumah kebajikan Ar Rahmaniah, baju raya kepada 40 penghuni

Oleh AZIAN AZIZ

HULU SELANGOR, 4 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor mencemar duli menyertai program Ziarah Ramadan di rumah anak yatim dan asnaf Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah di sini hari ini.

Tengku Amir Shah menyampaikan sumbangan wang tunai RM3,500 kepada rumah anak yatim berkenaan dan baju raya sumbangan Starvilion kepada 40 penghuninya.

Baginda turut menyampaikan sumbangan RM400 dan kotak makanan bernilai RM100 daripada Worldwide Holdings kepada empat keluarga asnaf terpilih.

Turut disampaikan Baginda 10 kerusi roda sumbangan Worldwide bernilai RM7,000 kepada Persatuan Bekas Polis Negeri Selangor.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah memasang almari untuk penghuni rumah anak yatim dan asnaf Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah, Hulu Selangor pada 4 April 2023. Foto Yayasan Raja Muda Selangor

Terdahulu, baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat rumah anak yatim dan membantu memasang dua almari untuk kegunaan asrama.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Selangor Youth Community (SAY) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Sementara itu Pengasas Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah Asmad Norddin berkata beliau terharu dengan kesudian Tengku Amir Shah mencemar duli menyantuni anak yatim di sini.

“Menjunjung kasih kepada Tengku Amir Shah kerana mencemar duli menzirahi serta sudi memasang almari untuk kegunaan anak-anak di sini.

“Terima kasih juga Worldwide serta Starvilion yang menyumbang kepada kami,” katanya.

Rumah anak yatim dan asnaf Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah ditubuhkan pada 2011 serta mempunyai 40 penghuni termasuk 25 perempuan berusia lima hingga 17 tahun.


Pengarang :