Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (lima dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY) Nurul Azwa Mohd Rodzi (tiga dari kiri) dan pemenang Liga Usahawan OKU Selangor edisi keempat di Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SAY anjur Liga Usahawan Wanita, sasar asnaf, ibu tunggal

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 13 APRIL: Selangor Youth Community (SAY) menganjurkan program Liga Usahawan Wanita bagi membantu golongan wanita berpendapatan rendah, asnaf dan ibu tunggal menjana pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nurul Azwa Mohd Rodzi berkata antara kriteria pemilihan peserta adalah pendapatan bulanan kurang RM3,600 selain menjalankan perniagaan dan bermastautin di Selangor.

“Ia terbuka kepada semua wanita B40, ibu tunggal dan asnaf dari seluruh daerah di Selangor. Program berimpak tinggi itu membantu memperkasakan golongan sasar menerusi pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan.

“Liga Usahawan Wanita Selangor berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran, dan rangkaian strategik komuniti perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan program tersebut bertujuan meningkatkan taraf kehidupan dan sosioekonomi khususnya golongan asnaf yang menerima bantuan zakat.

“Kita tidak mahu mereka terus jadi penerima zakat selepas 10 atau 20 tahun kerana bantuan itu berbentuk sementara. Sebaliknya kita mahu buka mata mereka bahawa perniagaan boleh jadi punca pendapatan untuk teruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Nurul Azwa berkata untuk fasa pertama program, seramai 100 usahawan wanita diberikan pendedahan melalui seminar mengenai perniagaan.

“Seterusnya seramai 20  peserta akan dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor.

“Pada akhir program, seramai 10 peserta akan diberi peluang membuat pembentangan perniagaan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan bakal dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Wanita Selangor,” katanya.

Tarikh tutup penyertaan 1 Mei ini dan dijadualkan bermula bulan depan sehingga Jun.

Pada awal tahun ini, SAY turut menganjurkan Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor dalam usaha mengubah nasib golongan tersebut selain membantu memasarkan produk perniagaan ke luar negara.


Pengarang :