Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah memberi kata-kata semangat kepada peserta selepas menyampaikan hadiah pada Majlis Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Keempat di Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda berkenan nobatkan tiga peniaga OKU sebagai ikon usahawan

Oleh AZIAN AZIZ

KUALA LUMPUR, 27 FEB : Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menobatkan tiga usahawan orang kurang upaya (OKU) sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor dalam pusingan akhir Liga Usahawan OKU Selangor edisi keempat hari ini.

Dalam majlis penganugerahan anjuran Selangor Youth Community (SAY) di Hotel Sunway di sini,  Tengku Amir Shah turut menobatkan seorang lagi usahawan OKU sebagai Usahawan Harapan OKU Selangor.

Pengasas dan Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY), Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Majlis Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Keempat di Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Terdahulu, baginda yang mencemar duli menjadi juri pusingan akhir liga berkenaan mendengar pembentangan perniagaan sembilan usahawan OKU yang layak ke pusingan akhir bersama empat juri selama tiga jam.

Baginda dan barisan juri dengan disertai EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail kemudian melakukan penjurian untuk memilih ikon usahawan sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

Usahawan perabot kayu yang buta sebelah mata, Mohd Noor Affendi Abdul Muin dipilih sebagai pemenang pertama Ikon Usahawan diikuti usahawan nasi lemak dan makanan sejuk beku yang cacat fizikal, Amir Mohsin Mohd Bahrudin yang meraih tempat kedua.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah Ikon Usahawan OKU Selangor kepada Mohd Noor Affendi Abdul Muin(dua kanan) turut bersama Exco Pembangunan Usahawan  Rodziah Ismail (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY) Nurul Azwa Mohd Rodzi (kiri) pada Majlis Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Keempat di Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Usahawan kedai runcit Irwan Fairuzi Johari yang cacat fizikal pula ditempat ketiga dan usahawan perkhidmatan cucian Nur Aini Mohamad Mashudi dipilih sebagai Usahawan Harapan.

Tiga pemenang ikon usahawan membawa pulang piala dan sijil pengiktirafan daripada SAY, geran perniagaan Program Usahawan OKU Selangor (SAY Lead) bernilai RM3,000 dan akan mara ke peringkat seterusnya iaitu SAY Lead Plus iaitu program bimbingan selama setahun.

Melalui program itu para pemenang dapat mengembangkan perniagaan menerusi akses pasaran baharu, pendigitalan perniagaan dan pasaran eksport.

Selain DYTM Tengku Amir Shah, penjurian turut dilakukan Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekosistem Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dr Salmah Sathiman dan Penasihat SME Bank Islam Datuk Dr Hafsah Hashim.

Turut serta ialah Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) Mohammad Syukri Ismail dan Pengurus Pusat kecemerlangan Perusahaan Sosial Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Muhammad Hafizul Khair Mohd. Yusof.

Program Liga Usahawan OKU Selangor merupakan inisiatif SAY, sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan DYTM Tengku Amir Shah. Menariknya edisi kali ini, usahawan OKU pekak dan bisu turut menyertai liga dengan dibantu jurubahasa isyarat.

Program ini ditaja oleh Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan serta mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

 


Pengarang :