Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika merasmikan Pusat Sehentian Pejabat Tanah dan Galian serta Hari Tanpa Tunai Pentadbiran Tanah Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sedia banyak tapak bina sekolah baharu tampung kepadatan penduduk

SHAH ALAM, 4 APRIL: Sekurang-kurangnya lima tapak disediakan bagi pembinaan sekolah baharu untuk menampung kepadatan penduduk yang kian meningkat terutama di Shah Alam.

Dato’ Menteri Besar berkata tumpuan turut diberi di kawasan penduduk melebihi 50,000 orang seperti Kota Kemuning, Klang, Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa dan Hulu Langat.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pihaknya menunggu keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang kini menumpukan untuk memperbaiki sekolah daif.

“Kita sedia maklum KPM kini sedang menumpukan untuk memperbaiki banyak sekolah daif, yang meletakkan perkara itu sebagai urusan utama dalam Belanjawan 2023.

“Namun, saya sebelum ini telah berjumpa dengan pihak KPM memaklumkan bahawa Selangor perlu lebih banyak sekolah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan pusat sehenti (OSC) Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Hari Tanpa Tunai Pentadbiran Tanah Selangor di bangunan pentadbiran negeri di sini.

Belanjawan 2023 yang dibentang Februari lalu memperuntuk sebanyak RM920 juta bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 sekolah daif seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

 


Pengarang :