Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ketaatan kepada-Nya lahirkan pemimpin dipercayai, disayangi (VIDEO)

SHAH ALAM, 4 APRIL: Pemimpin yang dipercayai dan disayangi rakyat lahir daripada sifat taatnya kepada Yang Maha Pencipta.

Menghuraikan ayat 142 Surah al-Baqarah yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata ayat itu mengajar manusia lebih berani dalam memimpin.

“Sebagai pemimpin atau ketua, jangan risau nak jelaskan diri kita kepada orang kerana orang yang sayang kita tak perlukan penjelasan kita sebab mereka percaya.

“Manakala orang yang tak percaya kita, kita jelas bagaimana sekali pun tak guna,” katanya memperinci kisah Nabi Muhamad SAW yang dikritik hebat semasa menyampaikan wahyu peralihan kiblat daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Amirudin pula berkata ayat tersebut berkait dengan persoalan hidayah yang mana pada permulaan ayat Allah SWT menyebut mengenai golongan bodoh dan tidak berakal.

“Maknanya (mereka) tak terbuka hati dan fikirannya walaupun ada macam-macam (kebenaran) di depan mereka. Dalam al-Quran ada beberapa kali disebut ‘apakah kamu tidak berakal untuk merenung’,” katanya.

Mengulas peralihan kiblat, Don Daniyal menjelaskan Allah mahu memberikan sesuatu yang diredhai Nabi Muhammad selain menunjukkan kedudukannya mengatasi nabi dan rasul yang lain.

Beliau juga mendoakan agar seluruh umat Islam termasuk dalam golongan yang mentaati agama.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin
Episod tujuh – bina kasih dalam keluarga
Episod lapan – doa pakaian ummah
Episod sembilan  – tuntut ilmu
Episod 10 – hidup harmoni masyarakat
Episod 11 – ujian pengukur iman
Episod 12 – akidah keturunan Nabi Yaakub


Pengarang :