Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Bandar Baru Ampang, Ampang Jaya pada 24 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sisa makanan di bazar makin bertambah, KDEBWM seru elak membazir

Oleh Shamz Johan

KAJANG, 9 APRIL:  Orang ramai diseru mengelak pembaziran susulan kutipan sisa makanan meningkat kepada 48 peratus setakat semalam berbanding 45 peratus minggu sebelum ini.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata hasil pemantauan di bazar Ramadan seluruh Selangor mendapati lebih 73 tan sisa dikutip setiap hari.

“Terdapat hampir 10,000 tapak bazar Ramadan, 8,000 diuruskan oleh KDEBWM.

“Sehingga pertengahan Ramadan ini, kutipan sehari mencecah antara 70 ke 73 tan sampah setiap hari,” kata Dato’ Ramli Mohd Tahir pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Hulu Langat semalam.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan pertukaran dokumen di antara Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Nur Mohd Razali Abdullah (kiri) dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Tahir pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri Yide kepada anak yatim sekitar daerah Hulu Langat di Masjid Jamek Bandar Kajang, Hulu Langat pada 8 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Agensi itu juga meminta peniaga dan pengunjung mengelak pembaziran makanan dan tidak berlebihan ketika menyedia dan membeli juadah berbuka.

Pada 31 Mac, KDEBWM berkata pihaknya mengutip 73.67 tan sisa makanan setiap hari berbanding 50.78 tan tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 45 peratus.

Katanya, sisa berkenaan dikutip di tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan yang mana peningkatan ketara dapat dilihat di Majlis Perbandaran Klang dengan 16.5 tan sisa sehari.


Pengarang :