ADN Permatang Rozana Zainal Abidin
ADNSELANGOR

100 peserta awal saringan kesihatan DUN Permatang dapat ayam

SHAH ALAM, 20 MEI: Sebanyak 100 ekor ayam disediakan khas untuk penduduk yang menyertai program Selangor Saring di Dewan Sungai Gulang-gulang, Tanjong Karang minggu depan.

Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin berkata pemberian itu sebagai langkah menggalak penduduk melakukan pemeriksaan kesihatan selain meringankan beban belanja penduduk.

“100 peserta terawal akan dapat ayam ini. Dalam masa sama kita turut buka kaunter pendaftaran Iltizam Selangor Penyayang untuk bantu mereka mendapat manfaat disediakan Kerajaan Negeri seperti Skim Mesra Usia Emas dan air percuma.

“Kita juga berusaha menjalin kerjasama agensi Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial bagi memudahkan penduduk mendapat penerangan,” katanya kepada Selangorkini.

Semalam, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan program saringan kesihatan percuma fasa dua kembali diadakan di sembilan lokasi mulai esok di Dewan MBSA, Paya Jaras Tengah.

Program dari 9 pagi hingga 3 petang diteruskan di Pejabat Ahli Dewan Negeri Hulu Bernam (28 Mei), Dewan Seri Siantan, Sungai Tua (3 Jun), Kompleks Penghulu Mukim Hulu Langat, Dusun Tua (4 Jun) dan Dewan Komuniti Taman Sri Sungai Pelek (10 Jun).

Program sama diteruskan pada 11 Jun di Dewan Taman Banting Baru, Morib selain di DUN Meru dan Sungai Kandis, masing-masing dijadual pada 17 dan 18 Jun.


Pengarang :