Pendaki orang kurang upaya (OKU) Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari Hashim dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu pada 18 Mei 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Pendaki OKU Malaysia Everest 2023 dikhuatiri hilang, operasi pencarian masih dijalankan

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Pendaki orang kurang upaya (OKU) Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari Hashim, dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Perkara itu disahkan Ketua Misi Ekspedisi Azim Afif Ishak ketika dihubungi dan operasi pencarian masih dijalankan.

Muhammad Hawari, 33, merupakan OKU pendengaran, dipercayai hilang ketika menuju ke Kem 3 selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 dari paras laut, pada Khamis.

Azim Afif berkata, setakat ini Muhammad Hawari masih belum dijumpai dan pendaki OKU itu sudah hilang hampir 24 jam.

Beliau berkata kali terakhir Muhammad Hawari berjaya dihubungi ketika pendaki itu berada di Kem 4.

Dalam pada itu, menurut laporan media Nepal The Himalayan Times yang memetik kenyataan pengendali ekspedisi Pengarah Pioneer Adventure Nivest Karki, Muhammad Hawari hilang sejak Jumaat dan usaha pencarian masih dijalankan.

Muhammad Hawari merupakan pendaki kumpulan pertama ke puncak Everest bersama pendaki yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub.

Bagaimanapun, Awang Askandar, 56, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak gunung Everest.

– BERNAMA


Pengarang :