SHAH ALAM, 22 MEI: Kira-kira 1,000 peserta dari dalam dan luar negara menghadiri Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin pada hari ke tiga Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde di sini hari ini.
Seminar itu merupakan program susulan majlis telaah Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hujung minggu lalu.
Majlis dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan dihadiri Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir, selain beberapa tokoh ilmuwan Islam Nusantara.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/MB5-500x349.jpg.webp)
Antara pengisian menarik di seminar berkenaan adalah pembentangan syarahan Ihya’ dan Penawar Krisis Dunia Moden oleh pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Selain itu, peserta turut berpeluang mendengar pembentangan tokoh ulama Indonesia Profesor Dr Kiai Haji Said Aqil Siradj yang akan membentangkan syarahan bertajuk Ihya’ Imam Al-Ghazali dan Pendidikan Tradisional Asia Tenggara.
Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty juga akan membentangkan syarahan bertajuk Ihya’ dan Budaya Damai, dan diakhiri dengan pembentangan tokoh ulama Patani, Thailand Baba Haji Ghazali Ahmad Fathoni dengan tajuk Kepentingan Ihya’ dalam Melahirkan Masyarakat Beradab.
Festival Turath Islami Selangor diadakan 20 hingga 25 Mei bersempena projek terjemahan 10 jilid kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Kerajaan Selangor.