Sebahagian karya terjemahan penting dan menarik bawah Siri Pencerahan Selangor yang digerakkan Inisiatif Buku Darul Ehsan. Grafik Selangorkini
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

12 bacaan wajib pedoman agama, panduan sejarah

Oleh ABDUL RAHIM SABRI & AMIN RIDZUAN ISHAK

Kerajaan Negeri menerbitkan sejumlah lagi karya terjemahan penting dan menarik bawah Siri Pencerahan Selangor yang digerakkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), penerbit riwayat hidup Nabi Muhammad SAW.

Diterbit dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd, judul terbaharu meliputi sejarah politik tempatan, darurat zaman komunis, kisah khalifah serta tokoh ulama, perang Jepun di Malaya dan juga asal-usul Kesultanan Selangor.

Sebelum ini bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, IBDE menerima geran Kerajaan Negeri setiap tahun untuk menjayakan projek terjemahan karya utama dunia bermula 2016.

Tujuh daripada 12 judul ini dijangka mendapat perhatian pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) antara 26 Mei ini hingga 4 Jun. Diterbit lebih awal, buku bertanda ** mendapat sambutan hangat pembaca.

Sempena pesta buku terbesar itu, Selangorkini meringkaskan buku terjemahan tersebut (judul asal) seperti berikut:

Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora
(Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times)
Barry Wain

Buku tulisan bekas editor Asian Wall Street Journal itu mengupas kisah hidup dan perjalanan politik perdana menteri keempat selama 22 tahun yang dianggap keras, penuh kontroversi dan panas.

Mendakwa RM100 bilion diseleweng dalam tempoh itu, Wain juga menceritakan bagaimana Dr Mahathir membolot kuasa termasuk berkrisis dengan istana sehingga melabelnya “Agong yang tidak ditabal”.

Selain bertembung dengan bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan pembunuhan di Memali, buku ini mendedahkan latihan ketenteraan negara ini dengan Amerika Syarikat walau Dr Mahathir sentiasa menggambarkan dirinya anti-Barat.

Ia turut mengulas cerita di balik pengharaman Umno pada 1988, krisis dengan badan kehakiman dan Tun Salleh Abas, skandal Perwaja dan kehilangan RM2.5 bilion BMF dan juga pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Imam al-Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuwan Ulung
(Muslim Intellectual: A Study of Al-Ghazali)
W Montgomery Watt

KARYA ini menyampaikan perjalanan pemikiran ulama besar dunia Islam sehingga karyanya Ihya Ulumuddin dan Tahafut al-Falasifah terus ditekuni sarjana Barat hingga kini.

Ia menceritakan latar belakang politik dan ilmu zaman al-Ghazali membesar dan pengaruh falsafah dunia terhadapnya sehingga muncul ulama tersohor dalam bidang itu.

Namun, di kemuncak kesarjanaannya, al-Ghazali yang mahir ilmu kalam dan fikah mengalami krisis keraguan diri yang amat berat hingga menjejaskan kesihatannya sebelum hidup sebagai seorang sufi.

Profesor bidang agama dari Scotland, Watt pernah menjadi pensyarah Bahasa Arab di Universiti Edinburgh dan selalu menganjurkan sikap toleransi antara agama.

Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya
(The Jungle is Neutral)
F Spencer Chapman

Membaca kisah perit Chapman, ketua pasukan komando Britain yang melawan Jepun bersama gerila komunis, di perut belantara Tanah Melayu ibarat menikmati filem atau novel perang.

Banyak babak cemas, mengejutkan dan mendebarkan ketika diburu, dikepung dan (pernah) ditahan askar Jepun di Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan antara 1941 hingga 1945.

Tanpa Ampun sangat sesuai untuk peminat sejarah tanah air dan penting dibaca oleh askar atau pendaki gunung kerana ia banyak mengajar ikhtiar hidup. Ia juga merakam flora dan fauna sewaktu bergerak di hutan, termasuk diserang pacat dan nyamuk.

Sejarah Selangor 1766-1939 **
(A History of Selangor 1766-1939)
JM Gullick

Bekas pentadbir kolonial ini, yang berpengalaman luas di Tanah Melayu menjelang kemerdekaan, menceritakan latar belakang ekonomi negeri dan susur-galur politik pemimpin Bugis sebelum pembentukan Kesultanan Selangor.

Mengandungi 12 bab penting, sarjana ini mengupas pergeseran politik sehingga mencetuskan perang saudara, industri perlombongan bijih timah dan perwatakan baik sultan.

Gullick membincangkan masa hadapan kerajaan-kerajaan Melayu dan kedudukan Selangor dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu sebelum terbentuknya gagasan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.

Gelagat & Ragam Orang Melayu **
(Malay Sketches)
Frank Swettenham

Buku setebal 192 muka surat hasil tulisan residen-jeneral pertama untuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu antara karya terbitan IBDE dan Media Selangor yang mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Penulis memberikan gambaran terperinci kehidupan masyarakat zaman itu misalnya keadaan kampung, suasana hutan, keheningan laut dan sungai atau perwatakan orang Melayu.

Melalui pergaulannya dengan orang Melayu, Swettenham menggambarkan mereka mudah mesra, peramah dan sopan santun tetapi pengarang turut menyatakan ada sikap buruk seperti pemboros dan suka berhutang.

Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya **
(Purification of the Heart: Signs, Symptoms and Cures of the Spiritual Diseases of the Heart)
Hamza Yusuf

TEKS bahasa Inggeris ini asalnya olahan kitab Matharatul Qulub karangan Syeikh Muhammad Maulud Ya’qub dari Mauritania yang sangat mahir dalam bidang tasawuf, kata Hamza, pemikir Islam dari Amerika Syarikat.

Kitab tasawuf itu membincangkan erti, punca penyakit hati (rohani) dan kaedah rawatannya. Penawar yang disaran Imam Maulud dihurai dengan berkesan oleh Hamza yang boleh kita jadikan pedoman.

Apa itu Tasawuf? **
(What is Sufism?)
Martin Lings

Setebal 172 halaman, karya ini sebuah pengantar ringkas tetapi kupasannya mendalam dan berwibawa tentang tasawuf menurut pengalaman pengarangnya, yang juga ahli dalam bidang itu.

Martin Lings, atau nama Islamnya Abu Bakr Sirajuddin, menghuraikan kepercayaan, matlamat dan kehidupan para ahli sufi. Beliau juga menjernihkan keraguan dan kecurigaan yang timbul terhadap tasawuf atau tarekat.

Buku kecil ini asalnya dihasilkan untuk pembaca di Barat (diterbit 1975) yang mula mendekati pengalaman ruhani dan tradisi agama Timur setelah berdepan kekacauan jiwa akibat kepesatan dunia moden.

Lings lebih dikenali sebagai penulis biografi Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal, judul paling laris bawah Siri Pencerahan Selangor.

Muhammad Ali: Raja Dunia Wira Amerika
(King of The World: Muhammad Ali and the Rise of an American Hero)
David Remnick

Selain menumbuk lawan di gelanggang, Muhammad Ali juga terpaksa meninju dasar penyisihan kaum kulit hitam Amerika Syarikat bersama Malcolm X, tokoh gerakan hak sivil yang dikagumi ramai.

Remnick, pemenang Hadiah Pulitzer, menceritakan riwayat hidup Ali di Olimpik tetapi memberi tumpuan kehidupan di luar gelanggang, termasuk pembabitannya dengan gerakan hak sivil Nation of Islam.

Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika Syarikat
(The Hundred-Year Marathon: China’s Secret Strategy to Replace America as the Global Superpower)
Michael Pillsbury

China berpura-pura mundur dan selalu mengharapkan bantuan teknologi Amerika Syarikat dan nasihat institusi kewangan Bank Dunia. Namun diam-diam ia menyusun strategi untuk mengalahkan kuasa besar Barat itu.

Pillsbury, bekas diplomat yang berhubung erat dengan pemikir dan penggubal dasar China sejak 1970-an, mendedahkan bahawa China pandai berhelah untuk memperdaya negaranya sehingga ramai intelektual tertipu.

Beliau menggambarkan China sebagai gunting dalam lipatan yang cuba menggantikan Amerika Syarikat sebagai pemimpin dunia dalam tempoh 100 tahun sejak 1949 lagi.

Risalah Tentang Kelazatan Yang Tercela
(Risalah Dzam Ladzat al-Dunya)
Fakhruddin al-Razi

Keserakahan manusia akan kelazatan duniawi itu tiada bertepi. Darihal makan minum, harta benda, pasangan mahupun kuasa dan pangkat, manusia tiada pernah berasa cukup.

Ahli tafsir dan ilmu kalam abad ke-12, Fakhruddin menyediakan panduan demi memastikan kita mengecap kelazatan yang mulia, membentengi diri daripada kelazatan yang tercela.

Memelihara Jiwa: Petua Daripada Tabib Kurun Ke-9
(Sustenance of the soul: The Cognitive Behaviour Theraphy of A Ninth Century Physician)
Malik Badri

Bekas profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini mengupas karya klasik mengenai pentingnya kesihatan mental dan kesannya pada tubuh, Masalih al-Abdan wa al-Anfus karya Abu Zayd Ahmad Sahl al-Balkhi pada abad kesembilan.

Dianggap karya penting mendahului zaman, kitab ini mengulas penyakit psikologi seperti tekanan, kemurungan, ketakutan, kerisauan, fobia dan gangguan obsesif kompulsif (OCD).

Perang Dunia Kedua
(The Second World War: An Illustrated History)
AJP Taylor

Bahang Perang Dunia Kedua melarat ke Tanah Melayu. Jadi bila dan bagaimana ia bermula? Mengarang buku Perang Dunia Pertama, Taylor menjelaskan punca perang yang pendek tetapi memakan korban kira-kira 17 juta nyawa.

Pernah bertugas sebagai wartawan, lulusan Universiti Oxford ini dikenali sejarawan terkenal dunia yang keempat cukup berpengaruh sejak pertengahan 1950-an.

Buku-buku ini boleh didapati di reruai IBDE bernombor 4061 dan 4076 Dewan Tun Razak 4, World Trade Centre Kuala Lumpur ketika PBAKL.

Selain senarai ini, dengan kerjasama Media Selangor, IBDE merancang untuk menerbitkan lapan lagi karya terjemahan selepas PBAKL. Empat daripadanya dijangka menjadi tumpuan ramai.

Selepas buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal dan Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama (Muhammad Hussein Haikal), IBDE akan terbit riwayat hidup Khalifah ar-Rasyidin kedua.

Umar al-Khattab: Kebijaksanaan sebagai Pedang, karangan Abbas Mahmoud al-Aqqad diterjemah daripada bahasa Arab ‘Abqariyyah Umar.

Selain itu, Ramuan Kebahagiaan pula terjemahan Kimya Al-Saadat, kitab tasawuf popular karangan Imam al- Ghazali.

Malaya’s Secret Police, 1945-60: The Role of the Special Branch in the Malayan Emergency karya Leon Comber memuatkan dua kajian kes menarik bagaimana polis Cawangan Khas (SB) berjaya melemahkan gerakan bersenjata Parti Komunis Malaya.

Detik-detik Akhir Empayar Osmaniyah, terjemahan A Brief History of Late Ottoman, dihasilkan profesor sejarah Universiti Princeton M Sukru Hanioglu. Ia menceritakan 150 tahun menjelang kejatuhan empayar Islam itu.

 


Pengarang :