Orang ramai yang hadir bagi membeli barangan keperluan ketika Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Setia di Tapak Pasar pagi Lembah Subang pada 29 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah terus dapat sambutan, PKPS disaran tambah kuantiti barangan

SUBANG JAYA, 28 MEI: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di tapak pasar pagi Lembah Subang 1 hari ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 500 penduduk datang ke program jualan murah itu.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata orang ramai mula memenuhi lokasi seawal jam 8 pagi meski jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dibuka pada 10 pagi.

“Ini merupakan penganjuran ketiga sejak jualan murah barangan asas diperkenal tahun lalu. Program ini memang dinantikan penduduk kerana harga murah malah mereka minta ia kerap diadakan.

“Hari ini kita guna sistem nombor giliran untuk pastikan semua penduduk dapat membeli keperluan. Kita risau bekalan seperti ayam dan telur tidak mencukupi dengan jumlah kehadiran ramai ini,” kata Halimey Abu Bakar kepada SelangorKini.

Berikutan itu, beliau menyarankan PKPS untuk menambah kuantiti bekalan jualan terutama ketika penganjuran di kawasan kediaman golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kebanyakan mereka miskin bandar. Walaupun tinggal di bandar namun perbelanjaan tinggi jadi mereka perlu dibantu untuk mengurangkan kos belanja bulanan.

“PKPS juga mungkin boleh mengadakan program lebih kerap di kawasan seperti ini supaya mereka mudah berbelanja dan mendapatkan keperluan,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berbual bersama pengunjung ketika Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Setia di Tapak Pasar pagi Lembah Subang pada 29 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang hadir bagi membeli barangan keperluan ketika Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Setia di Tapak Pasar pagi Lembah Subang pada 29 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :