Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Yakin tarik lebih 3.5 juta pengembara, Selangor miliki produk eko-pelancongan menarik

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Selangor optimis menarik kehadiran lebih 3.5 juta pengembara ke negeri ini menjelang akhir tahun, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata keyakinan itu didorong trend tinggi kedatangan pelancong luar negara terutama dari Jepun, China, Korea dan Taiwan ke negara ini.

EXCO Pelancongan, Hee Loy Sian ketika ditemui media pada Program Mendaki Bukit Ketumbar bersama YB Hee Loy Sian di Cheras pada 29 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Mereka memilih Malaysia terutama Selangor kerana produk eko-pelancongan menarik yang kita tawarkan di sini seperti ‘Sky Mirror’ dan kelip-kelip Kampung Kuantan di Kuala Selangor.

“Selain itu program Hutan Komuniti juga boleh menarik kedatangan bukan setakat pelancong dalam negara tapi juga luar negara dengan pelbagai perkara akan kita lakukan seperti tambah baik trek pendakian,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan pendakian di Hutan Bukit Ketumbar setinggi 300 meter bersama lebih 30 komuniti pendaki sekitar di Taman Cheras di sini, hari ini.

Kapal persiaran Royal Caribbean, Spectrum of the Sea dari Singapura yang membawa lebih 4,500 penumpang berlabuh di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang pada 1 Julai 2022. Foto Facebook Tourism Selangor

Loy Sian berkata segmen pelancongan kapal persiaran mewah di terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKTC) juga menunjukkan perkembangan positif dengan kedatangan pengunjung mencecah 350,000 pada Disember tahun lalu.

“Sebelum pandemik kita terima kedatangan lebih 500,000 pengunjung yang turun dari kapal dan melancong sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Dijangka tahun ini akan lebih daripada 500,000 kehadiran pengunjung bagi segmen itu.

“Dalam usaha menggiatkan pelancongan Selangor kita akan tambah aktiviti lagi bukan setakat pameran tetapi juga acara sukan untuk menarik pengunjung datang ke Selangor dan berbelanja di sini,” katanya.


Pengarang :