Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bukit Melawati, Meru, Banting antara sembilan lokasi jualan murah hari ini

SHAH ALAM, 2 MEI: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah diteruskan ke sembilan lokasi hari ini, mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu bertempat di kediaman Mohd Arshad, No 2, Parit 9 Timur (DUN Sabak), Surau Annur Kampung Sepakat (DUN Bukit Melawati), Masjid Nurul Jannah (DUN Meru) dan tapak pasar malam Sungai Rambai (DUN Banting)

Jualan murah turut diadakan di Alam Suria Puncak Alam (DUN Jeram), gelanggang bola keranjang Kampung Chempaka (DUN Bandar Utama), Kampung Baru A berhadapan padang awam (DUN Hulu Bernam), pekan Bangi (DUN Sungai Ramal) dan Pangsapuri Mawar Cempaka (DUN Bandar Baru Klang).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

 


Pengarang :