Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah di Surau Al-Falah, Taman Sirambai, Bukit Melawati pada 17 Mei 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah: 500 ekor ayam, 300 kilogram daging habis kurang dua jam

KUALA SELANGOR, 17 MEI: Jelajah Ehsan Rakyat(JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati mendapat sambutan apabila 500 ekor ayam habis terjual dalam tempoh kurang dari dua jam.

Dianjurkan di Surau Al-Falah, Taman Sirambai di sini, turut habis terjual pada program bermula jam 10.30 pagi ialah 300 kilogram (kg) daging.

Pegawai Penguatkuasa Unit Hartanah dan Perhutanan PKPS Mohd Zahirin Che Man. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Pegawai Penguatkuasa Unit Hartanah dan Perhutanan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Zahirin Che Man berkata beliau tiba sebelum jam 9 pagi dan melihat penduduk sudah menunggu untuk membeli keperluan asas.

“Kita bawa 500 ayam, 300 daging, telur, beras dan ikan manakala 150 minyak botol. Alhamdulillah pada jam 12 tengah hari, ayam dan daging habis terjual.

“Jualan mendapat sambutan menggalakkan dan mereka tidak kisah perlu walaupun perlu menunggu petugas mengeluarkan barangan,” katanya ditemui pada program tersebut.

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :