Petugas membuat persediaan sebelum bermula program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Gombak Setia di Gombak pada 20 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah ayam, ikan, telur di sembilan lokasi pagi ini

SHAH ALAM, 3 MEI: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menjual pelbagai barangan asas lebih murah berbanding harga pasaran diteruskan ke sembilan lokasi hari ini, bermula 10 pagi.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diadakan di tapak pasar malam Alam Jaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, berhampiran CS Tun Perak (DUN Balakong), Jalan 11, Selayang Baru (DUN Taman Templer) dan Pangsapuri Berembang Indah (DUN Hulu Kelang)

Jualan murah turut berlangsung di Masjid Bukit Naga (Sungai Kandis), Dataran Gesir Tengah (DUN Hulu Bernam) dan Seksyen 16 (DUN Sungai Ramal), Surau Al-Falah, Taman Sri Pekan (DUN Bandar Baru Klang) dan Surau Haji Alias (DUN Meru).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :