Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah ikan, telur, minyak masak di sembilan lokasi pagi esok

SHAH ALAM, 22 MEI: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri, Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diteruskan ke sembilan lokasi esok, bermula 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan bertempat di Dewan Komuniti Kampung Bestari Jaya (DUN Permatang), Masjid Hidayah Lama Taman Melawati (DUN Hulu Kelang), Apartment Merak (DUN Taman Templer) dan Taman Seri Pulai (DUN Balakong).

Program bertujuan meringankan beban rakyat itu juga diadakan di Masjid Al Falah Kampung Budiman (DUN Meru),  pekarangan rumah ketua Kampung Api-api (DUN Bukit Melawati), Dewan Orang Ramai Kampung Lombong (DUN Sungai Kandis), tapak pukal padi Parit 3 1/2 Timur (DUN Sabak) dan pekarangan Masjid Hidayah (DUN Kampung Tunku.

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari tahun ini.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :