Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Jannah, Klang pada 2 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah negeri terus jadi tumpuan, 300 ekor ayam habis kurang satu jam

KLANG, 2 MEI: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri terus mendapat sambutan apabila 300 ekor ayam terjual dalam tempoh kurang satu jam.

Penyelaras program Norazlina Abdullah berkata barangan asas lain seperti telur, beras, minyak masak, ikan dan daging turut habis dalam tempoh singkat.

Penyelaras Jualan Ehsan Rakyat DUN Meru Norazlina Abdullah. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun cuaca agak panas tetapi orang tetap ramai datang. Ada yang beratur seawal jam 8 pagi sebab tidak mahu melepaskan peluang beli ayam, telur dan beras yang dijual murah.

“Rata-rata pengunjung mahu program ini diadakan dari semasa ke semasa. Insya-Allah kita akan cuba bantu ringankan beban orang ramai,” katanya ketika ditemui di JER peringkat DUN Meru di Masjid Nurul Jannah hari ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Jannah, Klang pada 2 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :