Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas yang dijual pada harga murah di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Kampung Parit Mahang pada 9 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah negeri terus jadi tumpuan, barangan dapur terjual tempoh singkat

Oleh Diana Abd Wahab

KUALA SELANGOR, 9 MEI:Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok terus mendapat sambutan apabila 300 ekor ayam terjual dalam tempoh kurang satu jam.

Penolong Pengurus Kewangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Lees Aida Ramli berkata barangan asas lain seperti telur, beras, ikan dan daging turut terjual dalam tempoh singkat.

Penolong Pengurus Kewangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Lees Aida Ramli Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Kita dimaklumkan penduduk datang dan beratur seawal 8 pagi untuk rebut peluang beli enam barangan keperluan dapur yang dijual murah.

“Memandangkan jumlah pengunjung ramai hari ini kita hadkan seekor ayam, sepapan telur dan sepek daging bagi setiap pembeli memandangkan kita hanya bawa 300 bagi setiap barangan yang dinyatakan.

“Kita hadkan pembelian kerana mahu berlaku adil dan pastikan tiada pengunjung hampa kerana pulang dengan tangan kosong,” katanya ketika ditemui pada program JER di Kampung Parit Mahang, di sini hari ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :