Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan & Keusahawanan) PKNS Suhaimi Kasdon (tengah) melakukan gimik pelancaran selepas sidang media sempena karnival Discover PKNS 2023 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam pada 2 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Karnival hartanah PKNS tawar pelbagai insentif menarik buat pengunjung

SHAH ALAM, 2 MEI: Pelbagai insentif menarik dan potongan harga menanti pembeli hartanah di karnival Discover PKNS 2023 yang akan bermula Sabtu ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata kempen jelajah di lima lokasi itu diadakan sehingga Oktober hadapan.

Menurut Suhaimi Kasdon karnival tersebut bertujuan untuk mendekati masyarakat selain mempromosi serta memperkukuh jenama PKNS.

“Objektif kami ialah untuk menarik penglibatan orang ramai menerusi aktiviti yang melibatkan komuniti di perbandaran PKNS.

“Selain itu, ia juga menjadi medium untuk menarik minat bakal pembeli dan mengukuhkan kesedaran orang ramai berkenaan produk-produk PKNS,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKNS di sini, hari ini.

Suhaimi menjelaskan, program bersama rakan strategik PKNS itu turut menawarkan gerai jualan produk serta pelbagai aktiviti seperti berbasikal, memasak, memancing dan sukaneka rakyat.

Discover PKNS 2023 akan bermula di Kota Puteri, Kuala Selangor pada 6 dan 7 Mei ini diikuti dengan pelancaran projek kediaman Puteri Ariana di lokasi sama.

Jelajah diteruskan ke Antara Gapi, Serendah pada 24 dan 25 Jun, serta Selangor Cyber Valley di Sepang pada 29 dan 30 Julai hadapan.

Lokasi keempat adalah di Kompleks PKNS Shah Alam pada 12 dan 13 Ogos dan diakhiri dengan program kemuncak di Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC) pada 28 dan 29 Oktober.


Pengarang :