Lima naskhah terbaharu terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) akan dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023. Foto Facebook Inisiatif Buku Darul Ehsan – IBDE
AGENDANASIONAL

Kisah hidup Imam al-Ghazali, biografi Mahathir dijual di pesta buku KL

SHAH ALAM, 18 MEI: Kisah hidup ulama tersohor Imam Al-Ghazali dan biografi politik Tun Dr Mahathir Mohamad antara judul terbaru yang akan dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) mulai 26 Mei ini.

Diterbitkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd, dua karya ini antara lima naskhah terbaharu yang dijangka menjadi tumpuan pengujung.

Selain Imam al-Ghazali: Hayat dan Jasa Ilmuwan Ulung dan Muslihat Mahathir: Menghadapi Tahun Gelora, buku kisah petualangan komando Britain di hutan Tanah Melayu turut menarik perhatian pembaca.

“Buku (itu) Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya (karya F Spencer Chapman) juga sudah mula dijual di bukuibde.com,” kata penerbit itu, penggerak Siri Pencerahan Selangor, di Facebook.

Kisah hidup Imam al-Ghazali dikarang profesor terkenal W Montgomery Watt dan perjalanan politik Dr Mahathir dihasilkan bekas editor berpengalaman Barry Wain.

Dua lagi buku agama bertema kesejahteraan jiwa Risalah Tentang Kelazatan yang Tercela (terjemahan kitab Fakhruddīn al-Rāzī) dan Memelihara Jiwa: Petua daripada Tabib Kurun ke-9 (Malik Badri) turut dijual.

Sebelum ini bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, IBDE menerima geran Kerajaan Negeri bagi menjayakan projek terjemahan karya penting dunia sejak 2016.

Buku lain yang dijayakan bersama Media Selangor termasuklah Sejarah Selangor 1766–1939 tulisan JM Gullick, Gelagat & Ragam Orang Melayu (Frank Swettenham), dan Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya (Hamza Yusuf).

Ketiga-tiga ini karya penting ini ditulis tokoh yang dikenali dan dihormati ramai.

Semua ini boleh diperolehi di gerai IBDE bernombor 4061 dan 4076 PBAKL di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur sehingga 4 Jun. Pesta buku terbesar itu dibuka antara 10 pagi hingga 10 malam.

Menurut IBDE, pengunjung juga boleh menikmati potongan harga dan jualan kombo judul terbitannya di reruai tersebut.

“Pelbagai cenderamata, acara dan sesi temu mesra dengan penterjemah dan editor akan turut diadakan,” katanya.

IBDE menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre termasuk sejarah, falsafah, agama, politik dan sastera.

Muhammad Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karangan Martin Lings (atau Abu Bakar Sirajuddin) antara judul yang laris dan masih diburu peminat buku.

Selain pembelian dalam talian, buku IBDE boleh didapati di kedainya Rencana di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

 


Pengarang :