Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar membantu mengangkat barangan yang dibeli pengunjung ketika Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Setia di Tapak Pasar Pagi Lembah Subang pada 29 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 150 jemaah haji DUN Seri Setia mohon sumbangan RM500

SUBANG JAYA, 29 MEI: Lebih 150 jemaah haji sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia memohon insentif Haji Muassasah sebanyak RM500 daripada Kerajaan Negeri setakat ini.

Wakil rakyat Halimey Abu Bakar berkata bagaimanapun permohonan perlu diteliti kerana sumbangan berkenaan hanya layak untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

“Jemaah yang dikenal pasti layak akan menerima sumbangan wang tunai ini selepas pulang ke tanah air.

“Sekarang permohonan masih dibuka dan kita minta jemaah yang menepati kriteria untuk segera memohon,” katanya ditemui di program Jelajah Ehsan Rakyat di Lembah Subang 1 di sini hari ini.

Tahun ini Selangor meneruskan bantuan kepada 3,000 jemaah haji melibatkan peruntukan berjumlah RM1.653 juta.

Selain bantuan wang tunai, jemaah juga turut menerima kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.

Pemohonan sehingga 25 Ogos melalui pautan bit.ly/3ByFSxm dibuka kepada warganegara dan perlu menyerahkan salinan surat tawaran haji muassasah serta salinan jadual penerbangan.


Pengarang :