Pemandangan
ADNSELANGOR

Hutan Bukit Ketumbar di Cheras tarikan baharu penggemar aktiviti rekreasi

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Kerajaan Negeri bercadang menjadikan Hutan Bukit Ketumbar di Taman Cheras di sini sebagai hutan komuniti sekali gus menjadikan ia tarikan terbaharu pelancongan Selangor.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata ia bagi membolehkan aktiviti rekreasi seperti pendakian diteruskan oleh komuniti pendaki di kawasan berkenaan.

“Saya ke sini untuk membuat tinjauan berhubung aduan yang diterima mengenai aktiviti pendakian di sini. Kita memutuskan untuk benarkan mereka lakukan aktiviti pendakian tetapi dengan syarat tubuhkan komuniti berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

“Selepas tubuhkan komuniti berdaftar, mereka boleh mohon untuk jadikannya sebagai hutan komuniti yang akan dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan.

“Kita mahu buat konsep seperti di Hutan Komuniti Kota Damansara untuk pastikan kawasan ini tidak diterokai atau dimusnahkan. Selangor memiliki banyak destinasi menarik dan Hutan Bukit Ketumbar salah satu daripadanya,” katanya.

Caption pic K13
EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian bersama pendaki diatas puncak pada Program Mendaki Bukit Ketumbar bersama YB Hee Loy Sian di Cheras pada 29 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas melakukan pendakian di Bukit Ketumbar setinggi 300 meter bersama lebih 30 komuniti pendaki sekitar di Bukit Ketumbar di sini hari ini.

Loy Sian berkata hasrat menjadi Hutan Bukit Ketumbar sebagai hutan komuniti dijangka dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

“Hutan Komuniti juga boleh dijadikan tarikan pelancongan baharu pelancong dari dalam dan luar negara. Kita akan tambah baik trek pendakian untuk keselesaan pengunjung,” katanya.

Peserta menyertai program mendaki Bukit Ketumbar, Cheras bersama EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian pada 29 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
Pemandangan dari atas Bukit Ketumbar, Cheras pada 29 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :