Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Petaling Jaya pada 10 Mei 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 30 kali datang ke jualan murah negeri, berbaloi beratur panjang

PETALING JAYA, 10 MEI: Orang ramai yang ditemui pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) tidak kisah beratur panjang setiap kali program dianjurkan, malah ada yang sudah lebih 30 kali hadir ke hadir ke jualan murah itu.

Elmiera Nadia Osman, 34, berkata dia berpuas hati dengan kualiti barangan yang dijual meskipun terpaksa beratur hampir dua jam di program peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan bertempat di pekarangan surau Al-Hijriah, hari ini

Elmiera Nadia Osman. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Sejak tahun lepas dah lebih 30 kali saya datang ke JER antaranya di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, Kota Damansara, Bukit Lanjan, Bandar Utama dan Shah Alam.

“Saya puas hati kerana harga sangat berpatutan dan murah, kualiti ayam juga besar memang sangat berbaloi,” katanya yang mengusahakan perniagaan nasi bajet secara atas talian.

Bagi pesara, Abdul Aziz Ahmad, 60, berpendapat pelaksanaan sistem nombor giliran membantu pengunjung mengurus masa dengan baik.

“Banyak tempat saya pergi, sistem nombor giliran ini sudah digunakan. Jadi, kita boleh urus masa sambil menunggu untuk membuat belian, tidak perlu berebut-rebut.

Abdul Aziz Ahmad. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Usaha Kerajaan Negeri sudah bagus, saya harap agar mereka (kerajaan) kekal lagi untuk terus membantu rakyat di Selangor ini,” katanya.

Sementara itu, bekas pekerja pasar, Mohd Ahyat Ahmad, 70, pula sempat menawarkan perkhidmatan memotong ayam kepada pengunjung.

“Saya tawarkan perkhidmatan potong ayam dengan kadar upah RM1 seekor, hari ini saja sudah potong 200 ekor ayam. Alhamdulillah dapat tambah duit poket sikit,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Terdahulu, jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan di perkarangan surau Al-Hijriah ditutup satu jam awal selepas barangan habis dijual.

Mohd Ahyat Ahmad. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Petaling Jaya pada 10 Mei 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :