Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di Majlis Ehsan Aidilfitri PKPS 2023 dan Pengiktirafan Malaysian Book of Record (MBOR) di Shah Alam pada 15 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Program jualan murah ditambah baik, mahu lebih ramai terima manfaat

SHAH ALAM, 16 MEI: Inisiatif jualan murah anjuran Selangor, Jelajah Ehsan Rakyat  (JER) akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan antaranya menyelaraskan dengan Jualan Rahmah yang diperkenalkan Putrajaya.

Dato’ Menteri Besar berkata menerusi kerjasama tersebut, jumlah serta jenis barangan asas di setiap lokasi jualan murah akan bertambah sekali gus memanfaatkan lebih ramai rakyat di negeri ini.

“Kita akan teruskan (jualan murah). Ia akan lebih hebat apabila kita bergabung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menerusi Jualan Ehsan Rahmah.

“Jadi, jumlah produk akan bertambah, penjimatannya juga akan bertambah dan kita harap akan dapat memanfaatkan lebih ramai rakyat di negeri ini. Kita harap dapat dilaksanakan bulan depan tertakluk kepada perbincangan lanjut,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas Majlis Penganugerahan Malaysia Book of Records (MBOR) dan Majlis Ehsan Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS, semalam.

Amirudin memaklumkan inisiatif JER memanfaatkan kira-kira 2.5 juta penduduk Selangor sejak diperkenalkan pada September tahun lalu hingga kini dengan peruntukan kira-kira RM37 juta.

“Kita akan susun semula JER yang akan kekal di sembilan Dewan Undangan Negeri tetapi ada sebahagian tempat itu akan menjadi Jualan Ehsan Rahmah, kita mulakan dengan dua atau tiga tempat dulu,” katanya.

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Semalam, PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :