Pemain bola sepak negara Daryl Sham K K George ketika beraksi menentang pemain Loas pada perlawanan Bola Sepak Peringkat Kumpulan B sempena Sukan SEA 2023 di Prince Stadium, Phnom Penh, Kemboja pada 3 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Harimau Muda belasah Laos 5-0, bertemu Thailand Sabtu ini

PHNOM PENH, 3 MEI: Malaysia menempuh saat sukar sebelum melepasi halangan pertama dengan mencatat kemenangan selesa 5-1 ke atas Laos, pada perlawanan sulung Kumpulan B bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 di Stadium Prince di sini, malam ini.

Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan kendalian E. Elavarasan tidak menunggu lama untuk merobek gawang lawan selepas pemain pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menyambar bola muntah rembatan Muhammad Aliff Izwan Yuslan bagi menewaskan penjaga gol Solasak Thilavong.

Gol pembukaan itu tidak mematahkan semangat Laos apabila anak buah Michael Weiss bangkit menguasai perlawanan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Chony Wenpaserth yang berjaya diselamatkan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ke-17.

Bagaimanapun, gawang negara bolos jua berpunca daripada jaringan sendiri Muhammad Ubaidullah ketika beliau cuba mengeluarkan hantaran lintang Phetdavanh Somsanid pada minit ke-21, sekali gus membakar semangat pasukan lawan untuk terus mendominasi permainan.

Tujuh minit kemudian, sorakan hebat penyokong Laos terhenti seketika apabila Malaysia kembali di hadapan apabila pemain pertahanan Anantaza Siphongphan tertolak bola ke gawang sendiri susulan hantaran lintang Muhammad Safwan Mazlan.

Kedudukan 2-1 kekal hingga waktu rehat sebelum Laos terus memberi tentangan hebat di babak kedua, justeru memaksa Elavarasan membuat beberapa pertukaran untuk memberi nafas baharu kepada pasukan.

Empat pertukaran yang dibuat adalah dengan membawa masuk tiga pemain tengah iaitu Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid, Muhammad Syahir Bashah, Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal dan penyerang Fergus Tierney.

Percaturan itu ternyata membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya melebarkan kedudukan menerusi gol ketiga yang disumbangkan Muhammad Syahir selepas beliau menyudahkan umpanan rakan sepasukan pada minit ke-75.

Fergus yang memiliki dua peluang keemasan untuk mencetak nama sebagai penjaring, terpaksa akur apabila kedua-dua percubaannya sekadar menggegar tiang dan palang pada penghujung perlawanan.

Ketika permainan memasuki masa kecederaan, Malaysia menambah derita Laos menerusi gol keempat dan kelima yang dijaringkan Muhammad Najmudin dan gol sendiri Phoutthavong Sangvilay.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B yang berlangsung pada sebelah petang di venue sama, Vietnam merakam kemenangan kedua berturut-turut selepas menjinakkan Singapura 3-1 untuk menerajui kumpulan dengan enam mata.

Malaysia dan Thailand yang baru bermain satu perlawanan, masing-masing meraih tiga mata di tempat kedua dan ketiga sementara Singapura dan Laos di kedudukan tercorot selepas gagal mengutip mata dalam dua perlawanan pertama.

Malaysia akan membuat perhitungan menentang Thailand pada aksi kedua di venue sama Sabtu ini. – BERNAMA


Pengarang :