Seramai 4,000 sukarelawan hadir dalam program Pesta Kita Team Selangor 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang pada 18 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

4,000 sukarelawan Team Selangor dihimpun, enam individu terima anugerah

Oleh Fitri Hazim Hazam

SERDANG, 18 JUN: Seramai 4,000 sukarelawan dihimpunkan Team Selangor dalam program Pesta Kita 2023 untuk menghargai usaha dan bakti kepada rakyat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini malam tadi.

Sekretariat Team Selangor berkata segala kegigihan dilakukan sukarelawannya adalah untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri membangun dan memperkasa komuniti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir bagi menyantuni sukarelawan yang memainkan peranan penting membantu rakyat ketika dilanda musibah banjir dan wabak Covid-19.


Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan di hadapan 4,000 sukarelawan dalam program Pesta Kita Team Selangor 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang pada 18 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Dalam majlis itu, Amirudin menyampaikan tiga anugerah buat enam sukarelawan iaitu Anugerah Sukarelawan Komuniti Terbaik, Sukarelawan Siswi Terbaik, Anugerah Citra Team Selangor dan Penghargaan Khas.

Anugerah Sukarelawan diberikan kepada mahasiswa Universiti Kuala Lumpur (Unikl) Mohd Aizudfin Aqiffitri Dipungang manakala Sukarelawan Siswi Terbaik dianugerahkan kepada Siti Norseha Abu Samah.

Pengargaan Khas diterima empat sukarelawan iaitu Farhana Hazwani Abdullah Sani, Aspalela Tawal, Siti Syazana Mohd Kambalu dan Roslan Ramli.

Program turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti Wings, Ara Johari, Altimet dan Haniff Hamzah.

Team Selangor telah menganjurkan 9,315 program di seluruh Selangor melibatkan penyertaan 33,786 orang sejak penubuhannya pada 2017.


Pengarang :