EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (berdiri, tengah) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (berdiri dua, kanan) dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Daerah Sepang, Mohamed Rasaki Abdul Majid (berdiri tiga, kiri) bergambar bersama ketua pasukan di Majlis Perjumpaan Bersama kontinjen sukan daerah Sepang ke Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Negeri Selangor Dan Wilayah Persekutuan 2023, di Balai Perdana Pejabat Daerah Dan Tanah Sepang pada 10 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.
EXCOSELANGOR

76 atlet orang Asli Sepang sertai karnival sukan negeri di UKM esok

SEPANG, 10 JUN: Seramai 76 atlet orang Asli daerah Sepang menyertai Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan 2023 esok.

Berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata enam acara dipertandingkan iaitu menyumpit, bola jaring, sepak takraw, badminton, futsal dan e-sukan.

“Karnival ini adalah peluang untuk mereka menyertai acara dan menunjukkan bakat terutama dalam sukan kegemaran mereka iaitu menyumpit.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (berdiri depan, tengah) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (berdiri depan dua, kanan) bergambar bersama kontinjen sukan daerah Sepang ke Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Negeri Selangor Dan Wilayah Persekutuan 2023, di Balai Perdana Pejabat Daerah Dan Tanah Sepang pada 10 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

“Ada beberapa acara yang memang mereka handal dan semoga boleh bawa kemenangan dan mengharumkan nama orang Asli Sepang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kontinjen Sukan Daerah Sepang ke karnival sukan itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata sukan menyumpit yang dipelopori orang Asli mempunyai nilai komersial tinggi sekali gus berpotensi menjadi produk pelancongan Selangor.

“Memang kita ada hasrat untuk komersialkan sukan menyumpit ini yang mana ia agak unik membabitkan orang Asli.

“Mungkin kita boleh buat satu pertandingan sumpit dan menjadikannya satu acara tahunan dan boleh tarik pelancong bukan saja melihat orang menyumpit tetapi belajar cara menyumpit,” katanya.


Pengarang :