Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah negeri, lebih 25,000 keluarga DUN Tanjung Sepat terima manfaat

KUALA LANGAT, 24 JUN: Kira-kira 25,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat mendapat manfaat daripada lebih 30 program jualan murah yang dianjurkan di kawasan Januari lalu hingga bulan ini.

Pegawai Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tanjung Sepat berkata sebanyak tiga lagi program jualan murah akan diadakan pada bulan depan di kawasan berkenaan.

Pegawai Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Sepat, Mohd Reza Dollah Sajat bercakap kepada Media Selangor ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita usaha minta sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi memberi peluang kepada penduduk untuk dapat membeli barangan pada harga yang murah,” kata Mohd Reza Dollah Sajat.

Beliau ditemui di program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut di sini, hari ini.

Mohd Reza berkata pengunjung jualan mega ehsan itu beratur seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan nombor giliran untuk pembelian.

“Mereka ini kebanyakannya memang mengikuti program jualan murah sebelum ini jadi mereka memang bersedia lebih awal walaupun kaunter hanya dibuka pada 10 pagi,” katanya.

Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Sempena perayaan, Jualan Mega Rahmah Aidiladha diadakan yang menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 12,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur dijadualkan berlangsung di enam lokasi pada Sabtu dan Ahad.

Jualan murah sempena musim perayaan itu menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran bagi membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

Petugas membuat persiapan ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 


Pengarang :