Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Lembah Jaya di Perkarangan Dewan Orang Ramai Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 19 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah negeri untungkan rakyat, mahu program dikekalkan

Oleh Shamz Johan

AMPANG JAYA, 19 JUN: Pengunjung jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memuji pelbagai inisiatif yang dilaksanakan pentadbiran negeri ini bagi meringankan beban rakyat.

Lebih 10 kali mengunjungi jualan murah, Fadlyzzan Sapuan, 38, berkata program tersebut yang dianjurkan hampir setiap hari banyak menguntungkan pembeli sekali gus membuktikan kerajaan sedia ada cakna kebajikan rakyat.

Fadlyzzan Sapuan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Program JER ini paling bagus dan saya mahu ia dikekalkan kerana sangat membantu penduduk yang kurang kemampuan seperti kami.

“Bantuan lain seperti kesihatan, skim perubatan INSAN (Skim Insurans Am Selangor), BINGKAS (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor) dan pendidikan juga boleh ditambah baik dan diteruskan lagi, memang bertuah jadi rakyat Selangor,” katanya.

Beliau ditemui pada JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di perkarangan Dewan Orang Ramai Taman Ampang Indah, yang dihadiri lebih 300 pengunjung.

Bagi Noraida Hamsil, 38, yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta berkata ayam dan telur sentiasa menjadi pilihan jika berkunjung ke jualan murah tersebut.

Noraida Hamsil. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Hampir lima kali datang ke JER, produk ayam dan telur jadi pilihan kerana harga yang sangat murah. Kalau boleh, buka kaunter khas untuk warga emas,” katanya ketika ditemui.

JER kendalian PKPS menjual seekor ayam standard RM10, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Menjelang Aidiladha hujung bulan ini, Kerajaan Negeri bercadang menambah penganjuran jualan murah barangan asas kepada 18 lokasi selama dua hari sebelum hari raya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Lembah Jaya di Perkarangan Dewan Orang Ramai Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 19 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :